Pengarah YaPEIM Digantung Untuk Siasatan Dalaman Tiada Kaitan Isu PRU14

KUALA LUMPUR: Penggantungan sementara perkhidmatan Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Abibullah Samsudin, bagi membolehkan yayasan itu melaksanakan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku beliau.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, berkata ia dilakukan selaras dengan dapatan laporan audit oleh firma Pricewaterhouse Coopers (PwC) baru-baru ini.
Justeru, katanya, penggantungan sementara Abibullah yang berkuat kuasa 21 Mei lalu tiada kaitan dengan isu rakaman ucapan ketua pengarah berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), seperti yang tersebar di media sosial dan dilaporkan sesetengah media.

“Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM sudahpun mengambil maklum tentang rakaman video ucapan itu, namun tidak menjadikan rakaman itu sebagai satu-satunya asas pertimbangan untuk menggantung sementara perkhidmatan Abibullah.
“Penggantungan perkhidmatan adalah suatu proses standard, di dalam mana-mana organisasi jika terdapat kemungkinan dakwaan salah laku yang mana kakitangan boleh disiasat berdasarkan kepada peraturan dalaman organisasi tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, lembaga berkenaan memohon kerjasama dan jasa baik pihak media dan media sosial untuk menghentikan spekulasi, bagi membolehkan ia menjalankan tugas yang sewajarnya. – BERNAMA
Leave a Reply