Hanya yang terbaik untuk anda!

Tidak Harus Politikkan Budaya Memberi oleh Wakil Rakyat Bukan Islam

Budaya memberi khususnya dalam kalangan wakil rakyat bukan Islam pada bulan Ramadan di negeri Melaka adalah satu tindakan positif dan tidak harus dipolitikkan, kata Ketua Menterinya, Adly Zahari.

Adly yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka berkata tindakan mempolitikkan isu itu terutama pemberian makanan kepada masyarakat beragama Islam bukan sahaja dilihat sebagai tidak matang malah akan merugikan umat Islam.

“Mengapa apabila mereka (wakil rakyat bukan Islam) memberi bubur lambuk kita mengatakan ia bercanggah dengan Islam tetapi apabila mereka memberi kewangan dan baju ianya tidak dibantah.

“Saya fikir tidak wajar kita mempertikaikan kerana pemberian itu sama ada dalam bentuk makanan atau sebagainya, yang penting ianya halal dan mengambil kira keperluan masyarakat Islam di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pasar Harapan Rakyat Anjuran Wanita PH Kota Melaka di Telok Mas, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sesetengah pihak yang mengecam wakil rakyat bukan Islam di negeri ini mengagihkan bubur lambuk kepada masyarakat Islam sempena bulan Ramadan ini.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar seorang paderi bersama Exco Kesihatan dan Anti-dadah Melaka, Low Chee Leong memberi bubur lambuk kepada pengguna jalan raya dan tindakan itu menjadi pertikaian sesetengah pihak.

Mengulas lanjut, Adly berkata tiada salahnya wakil rakyat bukan Islam mengagihkan makanan kepada umat islam sebagai sokongan atau bantuan kepada mereka yang berpuasa memandangkan negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan hidup dalam keharmonian.

Beliau berkata setiap wakil rakyat di negeri ini termasuk yang bukan beragama Islam mempunyai peruntukan di peringkat dewan undangan negeri untuk melakukan aktiviti kebajikan kepada rakyat dalam bentuk sumbangan makanan, kewangan atau bantuan lain dan tidak berbangkit isu penggunaan zakat untuk tujuan itu.

“Di peringkat negeri juga kita telah mengarahkan semua wakil rakyat perlu menyumbang kepada golongan yang memerlukan tidak kira dalam menyambut perayaan apa sekali pun kerana ia merupakan satu budaya yang baik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata penganjuran Pasar Harapan Rakyat bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan mendapatkan barangan keperluan harian seperti minyak, tepung dan gula pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran selain berpeluang mendapatkan pakaian terpakai.

“Ia adalah satu inisiatif yang baik anjuran Wanita PH Kota Melaka dan kita mengharapkan model ini dapat diperluaskan di seluruh negeri dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan barangan keperluan pada harga kos,” katanya.

Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Basic HTML is allowed. Your email address will not be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

%d bloggers like this: